comscore
Tumpuan :
Nasional

Tunggu siasatan, semoga keadilan dapat ditegakkan – GISBH

KUALA LUMPUR: Global Ikhwan Services And Business Holdings (GISBH) meminta kerjasama semua pihak menunggu hasil siasatan pihak berkuasa atas penahanan reman barisan kepimpinan utama syarikat itu semalam.

GISBH dalam satu kenyataan rasmi di Facebook berkata, mereka menghormati tugas yang dijalankan pihak berkuasa demi keadilan undang-undang.

“Semua sedia maklum bahawa Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan beberapa pimpinan lain kini ditahan pihak berkuasa semalam.

“Justeru kami mohon kerjasama semua pihak dan doa supaya segala kekusutan dan kesulitan ini terlerai dengan segera serta keadilan semua pihak dapat ditegakkan.

“Diminta supaya semua pihak menunggu hasil siasatan untuk beberapa hari lagi. Semoga kita semua beroleh rahmat dan keredaan Allah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH bersama isteri dan anaknya antara 19 individu direman tujuh hari bermula semalam.

Permohonan reman ke atas individu berusia antara 25 hingga 65 tahun itu dikemukakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Turut ditahan isteri dan dua anaknya serta anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum itu mengesahkan tangkapan yang dilakukan hasil serbuan jam 5.40 pagi tadi di sebuah premis kediaman di Jalan Imbi, ibu negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini