comscore
Tumpuan :
Nasional

Tunku Mahkota Ismail beri tempoh 19 bulan kepada ADUN 

ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberi tempoh selama 19 bulan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor untuk mengenal pasti golongan ketua isi rumah di negeri itu yang miskin tegar bagi dibantu keluar daripada status itu sepenuhnya menjelang 2025.

Sehubungan itu, baginda bertitah dalam tempoh 19 bulan akan datang itu penting bagi ADUN menyalurkan segala bantuan yang diperlukan golongan berkenaan.

“Adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan semua bangsa Johor mempunyai makanan di atas meja masing-masing, tempat tinggal, akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak Johor, serta akses kepada kemudahan asas dan kesihatan yang baik.

“Saya menitahkan supaya tiada seorang pun ketua isi rumah bangsa Johor yang berstatus miskin tegar selepas 2025. Dalam jangka masa 19 bulan akan datang, sila cari dan kenal pasti di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) anda (ADUN), siapa yang tergolong dalam kategori ini.

“Berikan segala bantuan yang diperlukan melalui agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau swasta untuk membantu mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail menitahkan kesemua 56 ADUN daripada pihak kerajaan dan pengimbang supaya terus berkhidmat kepada rakyat negeri ini dalam keadaan ekonomi global tidak menentu kini.

“Saya amat memahami keresahan bangsa Johor, situasi ekonomi global tidak menentu, khususnya isu-isu peningkatan kos sara hidup, kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan dan ketidakstabilan harga.

“Ingin saya mengingatkan anda semua (ADUN), ini adalah tanggungjawab terbesar anda sebagai ADUN di Johor. Tolong berkhidmat untuk rakyat dan jangan sesekali lupa akan tanggungjawab ini,” titah baginda.

Seterusnya, baginda bertitah, kerajaan negeri juga perlu meneruskan projek menyantuni rakyat supaya kesejahteraan sosial terus terjamin untuk seluruh bangsa Johor.

“Ini termasuk program bantuan sosial, pembangunan infrastruktur yang mencukupi dan inisiatif pendidikan inklusif meliputi semua peringkat masyarakat,” titah baginda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini