comscore
Tumpuan :
Nasional

Tunku Mahkota Ismail berkenan terima mengadap Anwar

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 (Hari Kedua) yang berlangsung di Istana Negara pada 24 Oktober 2024. – Foto X HRHJohorII

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.

Dalam pertemuan terbabit, pelbagai isu terkini berkaitan negeri Johor sudah disampaikan serta dibincangkan.

Dalam masa sama, pertemuan itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Hamidin Mohd Amin.

Antara yang turut dibincangkan adalah mengenai perancangan serta pembangunan sukan bola sepak negara dan pasukan kebangsaan.

Terdahulu, Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak untuk pasukan Harimau Malaya, skuad bawah 18 (B-18) tahun dan B-13 dengan kerjasama FAM.

Katanya, ia bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.

Sebelum ini, media melaporkan seolah-olah wujud idea baharu untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa dengan mencadangkan agar pasukan kebangsaan bergerak berasingan atau dalam erti kata lain diswastakan.

Perkara itu dikongsikan Tunku Mahkota Ismail di laman sosial miliknya apabila berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas itu.

Namun, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan ia bukanlah penswastaan, sebaliknya satu unit baharu yang tetap berada di bawah seliaan badan induk itu untuk memantau dan mengendalikan skuad kebangsaan secara khusus selepas ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini