comscore
Tumpuan :
Nasional

Tuntutan Palsu Anak MB Perlis: PAS tak bantah, serah kepada proses undang-undang

KANGAR: PAS tidak akan membantah atau bertindak emosi sebaliknya patuh pada undang-undang berhubung pendakwaan ke atas anak lelaki Menteri Besar Perlis berkaitan tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 pada Februari lepas.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata parti itu menyerahkan kepada proses perundangan terlebih dahulu sebelum tindakan dalaman parti.

“Kita tidak membantah atau membuat tunjuk perasaan di mahkamah. Dan kita juga tidak membuat kacau.

“Tetapi selepas keputusan (dijatuhkan), ada lagi rayuan dan selepas pada rayuan akan ke Mahkamah Persekutuan.

“Misalnya jatuh hukum, tindakan selanjutnya akan diputuskan oleh PAS Pusat dan pihak negeri ikut sahaja,” beliau bercakap demikian ketika ditemui pemberita di Yayasan Pok & Kassim, di sini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim namun perincian pertemuan itu tidak didedahkan.

Pagi tadi, anak lelaki Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM19,000 pada Februari lepas.

Sehubungan itu, Mohd Syafeeq dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (AKta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

28 Jun ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini