comscore
Tumpuan :
Nasional

Tuntutan tanah 999 tahun bertentangan Kanun Tanah Negara

Foto hiasan

Kuala Lumpur: Rakyat Perak tidak perlu bimbang mengenai isu tuntutan hak milik tanah 999 tahun untuk kampung-kampung baharu di negeri itu kerana ia tidak boleh dilaksanakan dan bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau memahami masalah dialami DAP, kerana mereka sudah menjanjikan perkara itu kepada penyokongnya.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh dibuat kerana Kanun Tanah Negara sudah menetapkan tiada istilah tanah 999 tahun, yang ada, hanyalah pajakan tanah 99 tahun.

“Tetapi oleh kerana DAP sudah menjanjikan kepada penyokongnya, maka dia cuba sedaya upaya untuk menggambarkan bahawa mereka berjuang sehingga ke saat akhir.

“Dia (DAP) boleh berjuang tetapi Perlembagaan sudah menetapkan tidak boleh… maka ia tidak boleh dibuat jadi saya percaya DAP dan penyokong memahaminya,” katanya kepada media selepas Majlis Makan malam Menteri Besar Perak bersama media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Saarani berkata, jika diikutkan, tuntutan DAP itu bukan hanya berjuang untuk tanah kampung baharu sahaja tetapi termasuk Rancangan Kampung Tersusun Melayu dan kampung tradisi, namun tidak kira apa pun Kanun Tanah Negara sudah menetapkan tidak boleh maka ia tidak akan dapat dilaksanakan.

“Jadi saya tidak nampak itu akan ‘menghantui’ rakyat Perak dan ‘menghantui’ Menteri Besar sebab kita ada pegangan yang sah daripada segi ketetapan dibuat dalam Kanun Tanah Negara” katanya.

Isu status hak milik tanah 999 tahun kampung-kampung baharu di Perak sebelum ini diperjuangkan DAP.

Loading...
Terkini