comscore
Tumpuan :
Nasional

Tutup pintu dengan kuat, isteri dibelasah suami

 

AMPANG JAYA: Seorang wanita dibelasah hingga lebam oleh suaminya yang berang dengan perbuatan mangsa menutup pintu dengan kuat dalam kejadian di Taman Maju Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa berusia 40 tahun membuat laporan polis jam 2 pagi kelmarin selepas berselisih faham dengan suami, 45 sewaktu berada di rumah mereka.

Beliau berkata, ketika berlaku pertengkaran di antara mereka, suspek bertindak memukul isterinya hingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan dan lebam di tangan, kaki dan badan.

“Pemeriksaan perubatan di Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada tangan kanan, jari tengah sebelah kanan dan kaki kanan.

“Susulan laporan itu, jam 5.25 petang semalam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya disyaki terbabit dengan kes yang disiasat.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek dapati negatif dadah dan semakan dapati suspek tiada rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Ampang hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Loading...
Terkini