Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Malaysia menunjukkan minat mendalam untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Filipina (TESDA) berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, perkara itu disuarakannya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr. di Manila hari ini.
“Perbincangan hari ini turut menekankan kepentingan TVET dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
“Dalam hal ini, Malaysia amat berminat untuk menjalin kerjasama rapat dengan TESDA terutama membabitkan perkongsian kepakaran dan amalan baik,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, dalam pertemuan itu, beliau menyatakan komitmen jitu Malaysia untuk memperkukuh kerjasama bilateral antara kedua-dua negara seiring persediaan Malaysia mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut mengintai ruang dan peluang ke arah meningkatkan kerjasama dalam industri halal.
Ahmad Zahid merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata, kerjasama tersebut terutama membabitkan langkah memperluas usaha pensijilan halal dan meneroka peluang pertumbuhan perdagangan halal baharu termasuk sektor pelancongan halal.
“Menyedari kepentingan pengurusan bencana, kami turut membincangkan potensi inisiatif latihan bersama antara Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi berkaitan di Filipina untuk memperkukuh keupayaan tindak balas bersama.
“Saya juga menegaskan semula komitmen kami untuk memberikan bantuan kepada Filipina ketika menghadapi bencana,” katanya.
Pada masa sama, pada pertemuan berkenaan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga memberi penekanan terhadap nilai dan aspirasi yang dikongsi bersama, di samping menggariskan komitmen senada terhadap kestabilan serta kemakmuran serantau.
Ahmad Zahid berkata, beliau meletak harapan tinggi bahawa pertemuan terbabit akan menjadi asas ke arah usaha memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Filipina dan melorongkan laluan terhadap lebih banyak usaha kerjasama pada masa hadapan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.