comscore
Tumpuan :
Nasional

TVET: Sesi libat urus digandakan untuk kenal pasti kehendak industri

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada pelajar selepas Merasmikan Bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) – FOTO: NSTP

NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan sesi libat urus lebih kerap dengan pihak industri dalam usaha membantu lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat pekerjaan dengan syarikat swasta.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihaknya menyedari situasi dihadapi graduan TVET namun tidak boleh menganggap pihak industri enggan mengambil mereka bekerja.

Katanya, kerajaan telah mewujudkan kerjasama dengan pihak industri membabitkan beberapa kementerian dalam usaha mengenal pasti bidang kemahiran yang diperlukan oleh pihak swasta.

“Kita perlu mendekati industri ini, apa bidang (kemahiran) yang mereka perlukan. Jangan kita mengambil pendekatan menuduh mereka tidak mahu mengambil graduan TVET untuk bekerja.

“Paling mustahak adalah pendekatan bersama dan dalam hal ini kerajaan telah mengambil keputusan dengan mewujudkan kerjasama dengan kementerian-kementerian dalam hal yang bersangkutan dengan tenaga kerja.

“Ia membabitkan KPT, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Ekonomi, di sini kita meletakkan asas untuk kita pastikan dari segi keperluan tenaga kerja, bidang apa yang diperlukan.

“Alhamdulillah, kita telah mengadakan mesyuarat bersama membabitkan menteri ini, untuk kita dapat tahu bidang keperluan dalam sektor tertentu yang minta kita sediakan,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata kursus kemahiran yang disediakan di Kolej Komuniti (KK) berbeza dengan Politeknik, namun graduan Politeknik lebih mendapat peluang pekerjaan sehingga mencecah 97 peratus.

Beliau akui perkara yang sering kali menjadi perbincangan ialah graduan di peringkat ijazah, yang dilihat lebih sukar untuk mendapat pekerjaan di sektor swasta.

Menurutnya, perkara itu disebabkan beberapa aspek termasuk syarat tambahan diperlukan graduan terbabit untuk diterima bekerja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini