Tumpuan :
Nasional

U Mobile dikenakan syarat tertentu bangunkan 5G

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Syarikat U Mobile Sdn Bhd akan dikenakan syarat tertentu untuk membangunkan rangkaian 5G kedua negara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata perkara itu akan ditetapkan selepas MCMC mengambil kira pengalaman pengendali rangkaian pertama 5G iaitu Digital Nasional Bhd (DNB).

“Saya rasa agak pramatang untuk saya maklumkan apa-apa syarat yang akan dikenakan. Memang kalau kita lihat pengalaman sebelum ini bila kita menyaksikan penggabungan antara Celcom dan juga Digi, penggabungan itu datang dengan sejumlah syarat yang dikenakan oleh badan kawal selera iaitu MCMC.

“Sudah pasti, malah kalau kita lihat dalam pelaksanaan rangkaian 5G pertama di bawah DNB juga ada dikenakan syarat-syarat tertentu, dan bagi rangkaian kedua sudah pasti akan ada syarat-syarat tertentu yang akan dikenakan,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata MCMC akan memanggil pihak U Mobile untuk memahamkan apakah perbincangan terkini di antara syarikat itu dengan mana-mana syarikat yang ingin bekerjasama dengan mereka.

“Dari situ beberapa pertimbangan akan diberikan kerana kita perlu sedar mekanisma yang akan dikenakan bagi rangkaian kedua ini adalah melalui pegangan spektrum (spectrum holding). Ia sama ada melalui apa disebut sebagai apparatus assignment ataupun spectrum assignment.

“Jadi kedua-dua ini adalah instrumen yang ada dalam tangan MCMC dan dalam meneliti apakah cara yang terbaik, maka di situ MCMC boleh mengenakan syarat-syarat tertentu.” Ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini