comscore
Tumpuan :
Nasional

Ubahsuai kenderaan untuk seludup dadah bernilai lebih RM10 juta dari negara jiran

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SHAH ALAM: Taktik satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa yang mengubahsuai kenderaan untuk membawa barang terlarang dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Selangor, Kedah dan Terengganu.

Serbuan pada 27 Mac lalu itu, turut menahan empat lelaki termasuk dua peniaga kosmetik berusia 23 tahun hingga 40 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi merampas 312.7 kilogram dadah jenis syabu di dalam tiga kenderaan, keseluruhannya bernilai RM 10.6 juta.

“Kita percaya kumpulan ini seludup dadah dari utara negara jiran, bawa masuk melalui kenderaan kemudian mereka akan bawa singgah di pertengahan negara kita, Kedah untuk simpan dalam stor.

“Selepas mereka perhati tiada yang ikut, mereka akan bawa terus sampai Lembah Klang, khasnya sebuah rumah di Klang, di mana mereka akan teruskan untuk pasaran tempatan dan juga kurier ke luar negara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, hari ini.

Ujarnya, setiap suspek mempunyai peranan masing-masing sebagai koordinator dan ‘transporter’ dan menerima upah RM 15 000 sehingga RM 30 000 untuk setiap kali penghantaran.

Siasatan mendapati sindiket aktif beroperasi sejak Oktober tahun lalu.

Semua yang ditahan direman selama enam hari bagi siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dengan menyita empat kenderaan, wang tunai dan juga pelbagai barang kemas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini