comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] UiTM kekal pengambilan sedia ada, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

 


KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UITM) menegaskan bahawa pengambilan sedia ada adalah kekal dan tiada perbincangan di peringkat Senat mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti berhubung kemasukan pelajar bukan Melayu ke universiti itu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata pihaknya berpegang teguh kepada akta dan peruntukan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menyeru kepada semua mahasiswa untuk menumpukan usaha menunaikan amanah sebagai pelajar. Gunakan masa yang sangat berharga untuk belajar dan timbalah ilmu sebanyak mungkin untuk bekal masa depan yang tidak menentu.

“Inilah perjuangan hakiki seorang mahasiswa. UiTM berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173-UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lewat petang tadi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan pihaknya pernah mengadakan perbincangan termasuk membawa cadangan untuk membuka kemasukan ke UiTM untuk pelajar bukan Bumiputera ke peringkat Kabinet.

Menjelaskan dakwaan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan, menegaskan isu itu sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat dasar serta objektif asal penubuhan UiTM.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai cubaan mahu menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

“Merujuk kepada isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM, saya ingin memaklumkan sekali lagi dengan tegasnya bahawa isu ini tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT mahupun peringkat Kabinet.

“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera seperti mana yang telah dimainkan pada hari ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini