comscore
Tumpuan :
Nasional

UiTM terima penghargaan ACCA, cemerlang lahirkan akauntan bertauliah

Dekan Fakulti Perakaunan UiTM, Profesor Dr Haslinda Yusoff (tengah) menerima penghargaan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi pihak fakulti pada Majlis Gala Ulang Tahun ke-88 ACCA Malaysia/Ihsan UiTM.

SHAH ALAM: Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi diiktiraf atas sumbangan luar biasa dalam bidang perakaunan apabila diberi penghargaan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Pengiktirafan itu adalah tanda penghargaan kepada Fakulti Perakaunan UiTM atas dedikasi dan komitmen yang berterusan sebagai Rakan Strategik Universiti ACCA, serta peranan penting universiti dalam melahirkan akauntan bertauliah yang berdaya saing di peringkat global.

Anugerah berkenaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif ACCA, Helen Brand, pada Majlis Gala Ulang Tahun ke-88 ACCA Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur, kelmarin.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama strategik antara UiTM dan ACCA sudah lama terjalin sejak 1956, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan bilangan akauntan bertauliah di Malaysia.

“UiTM menjadi platform utama dalam memperkasakan akauntan Bumiputera, selain memainkan peranan penting dalam pembangunan akauntan global masa hadapan.

“Pada 2010, Fakulti Perakaunan UiTM mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai penyedia pembelajaran bertaraf Platinum oleh ACCA, menjadikannya universiti awam pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan ini.

“Status Platinum yang diperolehi mencerminkan komitmen universiti dalam menghasilkan akauntan bertauliah yang memenuhi piawaian antarabangsa, dan pengiktirafan ini kekal hingga hari ini,” jelas UiTM, hari ini.

Menurut kenyataan itu, UiTM juga terkenal dengan pencapaian luar biasa pelajarnya di peringkat antarabangsa dengan ramai pelajar fakulti berkenaan berjaya merangkul anugerah ACCA Top Prize Winner, menunjukkan keupayaan dan kecemerlangan akademik mereka di persada dunia.

Dekan Fakulti Perakaunan UiTM, Prof Dr Haslinda Yusoff menegaskan bahawa kejayaan ini adalah bukti komitmen universiti dalam memastikan pendidikan berkualiti, program akademik yang diakreditasi di dalam dan luar negara, serta bimbingan daripada tenaga pengajar yang unggul.

“Faktor-faktor utama seperti kualiti akademik, pengiktirafan antarabangsa dan kecemerlangan tenaga pengajar memastikan graduan Fakulti Perakaunan UiTM mampu memenuhi piawaian profesional antarabangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini