Tumpuan :
Nasional

UiTM tersenarai pada kedudukan ke-136 dalam edisi pertama THE-ISR 2025

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) tersenarai pada kedudukan ke-136 dalam edisi pertama Times Higher Education (THE) Interdisciplinary Science Rankings (ISR) 2025.

UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pencapaian ini memperkukuh reputasi UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang komited terhadap integrasi pengetahuan pelbagai bidang.

“Penarafan yang dilancarkan dengan kerjasama Schmidt Science Fellows ini memberi pengiktirafan atas sumbangan universiti dalam memacu penyelidikan sains antara disiplin.

“ISR 2025 menumpukan kepada disiplin sains utama seperti sains komputer, kejuruteraan, sains hayat, dan sains fizikal.

“Penarafan yang melibatkan 749 buah universiti dari 92 buah negara ini mencerminkan kepentingan pendekatan yang merangkumi kerjasama antara pelbagai disiplin ilmu untuk menangani cabaran global,” jelas kenyataan itu.

Tambah UiTM, pengiktirafan ini disusun berdasarkan tiga fokus utama: input, proses, dan output, yang mana masing-masing merangkumi 11 metrik penilaian.

“Pencapaian UiTM ini menggambarkan budaya kerjasama yang kukuh dan baik dalam kalangan komuniti akademik mahupun rakan industri, bagi mewujudkan persekitaran yang dapat menyokong perkembangan penyelidikan antara disiplin.

“UiTM terus unggul dalam menyepadukan pelbagai disiplin ilmu untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, seterusnya memperkukuh kedudukan sebagai peneraju akademik dan penyelidikan di Malaysia.”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini