BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terima 6,718 pelajar baharu bagi sesi akademik 2024/2025 bagi semua program pengajian.
Jumlah ini termasuk pelajar kategori arus perdana ambilan pelajar tempatan dan antarabangsa melalui Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape).
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM menerima sebanyak 86,364 permohonan pada tahun ini termasuk pemohonan yang tidak meletakkan UKM sebagai pilihan pertama.
“Seramai 1,803 pelajar kemasukan baharu ke UKM bagi sesi akademik 2024/2025 adalah daripada keluarga B40 merangkumi lebih 40 peratus dari jumlah keseluruhan.
“Manakala seramai 303 pelajar terdiri daripada keluarga B10 yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.
“Pelajar-pelajar ini menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan termasuk bantuan yuran kemasukan, bantuan zakat dan kemudahan kolej khusus kepada pelajar asnaf secara percuma sepanjang semester,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
UKM juga menerima pelajar Orang Asli seramai lapan orang dan sembilan pelajar orang kurang upaya (OKU).
“Kita santuni setiap pelajar dengan menyediakan kemudahan penginapan dan bantuan kebajikan yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada mereka,” jelasnya.
Selain itu seramai 303 orang pelajar yang ditawarkan Program Pembangunan Siswa Sulung 3.0. Program ini disasarkan kepada pelajar pertama dalam keluarga B40 yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00.
Antara penerima Program ini adalah pelajar jurusan Pendidikan Khas UKM, Nur Akliyah Amin, 20, yang mahu mengubah persepsi pendidikan dalam kalangan Orang Asli dengan menjadi sebahagian daripada warga pendidik supaya boleh dijadikan suri teladan kepada suku kaumnya iaitu suku Jahut.
“Saya percaya bahawa pendidikan mampu mengubah perspektif orang ramai. Saya juga menyeru kepada masyarakat Orang Asli supaya merebut peluang yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menawarkan bantuan penajaan bagi pelajar kurang berkemampuan,” katanya.
Sementara itu, bagi pelajar jurusan undang-undang yang berasal dari Chenor, Pahang, Syaflin Kimieadley Rosli, 19, pula, beliau mahu memperkenalkan suku kaumnya yang sehingga hari ini masih tidak tersenarai dalam 18 suku Orang Asli yang utama di Semenanjung Malaysia.
“Saya juga sering dianggap tidak mampu melanjutkan pelajaran kerana mempunyai latar belakang sebagai Orang Asli. Saya harap lebih ramai komuniti Orang Asli menyedari kepentingan pendidikan tinggi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.