comscore
Tumpuan :
Nasional

Ukur prestasi Menteri & Timbalan tidak terhad populariti, isu tular

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Prestasi setiap Menteri dan Timbalan Menteri dalam kerajaan Malaysia MADANI perlu diukur berdasarkan pencapaian serta keberkasanan program, bukannya populariti semata-mata.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu ukuran prestasi itu tidak terhad kepada isu-isu tular atau populis di dalam media sosial.

“Lebih baik menjadi wira tidak didendang, yang kurang kenyataan populis tetapi meraikan kumpulan sasaran (yang) harus diberikan tumpuan dan keutamaan dalam perkhidmatan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2022, di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ukuran prestasi tidak seharusnya bersandarkan kepada peratusan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi setiap program yang dilaksanakan.

Namun, penekanan perlu diberikan kepada keberkesanan program tersebut.

“Maka dasar kita untuk melaksanakan semua program mesti diukur dari segi keberkesanan kos. Pendekatan kita ialah kos rendah, impak tinggi. Banyak yang (saya lihat) kos tinggi namun impak rendah,” katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya, walaupun mempengerusikan banyak jawatankuasa kabinet, beliau akan memastikan setiap kementerian yang dikoordinasikan itu dipantau dan dibantu supaya mewujudkan kerajaan berprestasi tinggi.

“Perubahan mesti dirasakan oleh rakyat bukan sekadar laporan di atas kertas dan memuaskan hati apabila laporan itu dibentang. Kumpulan sasaran mesti berpuas hati terhadap prestasi kementerian, jabatan dan agensi. Itu lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Ahmad Zahid antara lain adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Pengerusi Jawatankuasa Pesuruhjaya Kanak-kanak, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berpandangan semua anggota jemaah menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan menunjukkan prestasi memuaskan setakat ini.

Loading...
Terkini