Tumpuan :
Nasional

Ular sawa seberat 100 kg ditangkap dekat kandang kambing 

FOTO: Ihsan APM

SETIU: Kebimbangan seorang penternak kambing susulan kehilangan beberapa ekor haiwan peliharaannya berakhir hari ini, apabila seekor ular sawa ditangkap di Kampung Kubang Puyu Chalok, di sini.

Penternak kambing, Shukri Ab Rashid, 49, berkata, dia menyedari kehadiran ular sawa berkenaan di kawasan kandang ketika mahu melihat kambingnya pagi tadi.

Katanya, sebelum ini tiga ekor kambingnya hilang dikuatiri ditelan oleh ular berkenaan dan dia segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk segera menangkap haiwan terbabit.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata mereka menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

FOTO: Ihsan APM

“Seramai empat anggota bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap seekor ular sawa seberat 100 kilogram dengan panjang kira-kira 6 meter di kandang kambing seorang penternak.

“Ular berkenaan dibawa ke pejabat APM Setiu dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, orang ramai diminta lebih berwaspada dengan kehadiran haiwan liar di kawasan luar atau dalam rumah ketika musim tengkujuh.

“Sekiranya memerlukan bantuan boleh segera menghubungi talian kecemasan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini