
BESUT: Seekor ular sawa batik seberat 130 kilogram berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hanya dalam masa 15 minit di Kampung Batu 13, Hulu Besut, di sini.
Pegawai Operasi APM Daerah Besut, Left (PA) Mohd Fazli Mat Yusof berkata pihaknya menerima laporan penemuan ular itu kira-kira jam 5.55 petang pada Sabtu lalu sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.
“Ketika sampai di lokasi, pasukan mendapati ular sepanjang lima meter berada di belakang rumah pengadu. Anggota mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkapnya.
“Ular berkenaan dipercayai datang dari kebun sawit berhampiran sebelum masuk ke kawasan rumah pengadu.
“Kawasan kebun sawit itu juga dipercayai mempunyai haiwan ternakan yang menjadi tarikan kepada reptilia itu,” katanya ketika ditemui di pejabat APM Daerah Besut di Jertih, hari ini.
Mohd Fazli berkata ular itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, sepanjang bulan ini sebanyak 19 ular sawa batik ditangkap di daerah ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.