comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Umat Islam perlu kuasai teknologi AI, tolak kebergantungan pada kepakaran barat – PM

 


Oleh: Kumaran Rajamoney

KANGAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam untuk memaknai dan menterjemah amalan perjuangan jihad dalam negara dengan menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menyifatkan negara dan dunia bakal dikuasai AI pada masa hadapan, beliau mahu pengetahuan teknologi itu memenuhi corak dan budaya yang sesuai dengan nilai hidup masyarakat di negara ini yang majoritinya umat Islam.

“Kalau AI kita tidak kuasai, yang menentukan AI itu ialah orang lain iaitu orang asing dari barat dan Amerika Syarikat. Rakyat Malaysia dan umat Islam perlu menentukan perisian AI itu mengikut iklim dan persekitaran mengikut kefahaman kita.”

“Nilai agama, akhlak dan moral itu perlu termasuk dalam pengertian dan penafsiran AI. Ianya sama seperti penolakan pada komputer kerana adanya pornografi suatu masa dulu, yang kita tidak terlawan,” katanya.

Justeru, kekuatan dalaman tegasnya perlu dibentuk supaya unsur negatif yang dibawa hasil pengenalan teknologi baharu ini dapat ditolak.

“Kenyataannya di Malaysia, minat anak Melayu dalam bidang Sains dan Matematik semakin menurun. Kita kekurangan 30,000 jurutera,” katanya ketika berucap pada Program Perkampungan Sunnah di Masjid Alwi, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman dibuat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft, Satya Nadella mengenai komitmen terbesar dalam sejarah 32 tahunnya di negara ini dengan pelaburan berjumlah RM10.5 billion (US2.2 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang untuk menyokong transformasi digital Malaysia.

Pelaburan Microsoft itu akan melibatkan usaha membina infrastruktur awan dan AI, selain mewujudkan peluang menguasai kemahiran AI untuk 200,000 lagi rakyat negara ini.

Pelaburan itu juga mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Pusat AI negara dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara serta menyokong pertumbuhan komuniti pencipta perisian Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini