comscore
Tumpuan :
Nasional

Umat Islam perlu pertahan tradisi ilmu, akliah Al-Azhar – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa umat Islam mempertahankan tradisi ilmu dan akliah yang dihidupkan oleh Universiti Al-Azhar di Mesir.

Menerusi perutusannya sempena Hari Al-Azhar sedunia 2024, beliau berkata, perkara itu harus dipertahankan agar timbulnya kesedaran meluas umat Islam termasuk di rantau Asia Tenggara.

“Sejarah kita ini sejarah Islam mutakhir. Tidak terpisah daripada sejarah perubahan dan islah yang dibawa oleh Al-Azhar, sama ada Muhammad Rasyid Ali Ridha, Muhammad Abduh dan Sheikh Mahmud Shaltut.

“Ini sebati dengan seluruh garis perjuangan dan kesedaran umat Islam di Asia Tenggara, termasuk Malaysia,” katanya di dalam video perutusan yang ditayangkan pada Majlis Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2024M/1445H di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, di sini.

Mengenai sambutan Hari Al-Azhar, Datuk Seri Anwar berkata, rantaian hubungan akrab dengan universiti berkenaan ialah hadiah besar dinikmati negara ini.

Malah beliau bersyukur kerana disambut baik Syeikh Al-Azhar, al-Imam al-Akbar Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb dan tokoh itu turut menerima undangan untuk datang ke Malaysia.

“Saya percaya kita akan memanfaatkan, bukan sahaja dapat berkumpul dengan alumni Al-Azhar, tetapi kita akan manfaatkan waktu ini merencanakan program yang boleh dimanfaatkan umat Islam di Malaysia keseluruhannya,”katanya.

Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2024M/1445H yang diadakan sempena genap 1,084 tahun penubuhannya itu, dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WOAG) Malaysia.

Majlis turut dihadiri Presiden WOAG Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dan Duta Besar Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini