comscore
Tumpuan :
Nasional

Umat Islam teruja sambut kehadiran Ramadan

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Masyarakat Islam di negara ini akan mula menyambut bulan Ramadan, esok.

Selain fokus kepada aktiviti ibadah, tumpuan pastinya terarah kepada persiapan setiap kali menjelangnya waktu berbuka puasa dan bersahur.

Tinjauan Buletin TV3 di Pasar Besar Alor Setar, hari ini mendapati kehadiran pengunjung yang jauh lebih ramai dari kebiasaannya.

Rata-rata pengunjung mahu membeli barangan bagi menjamu ahli keluarga yang lazimnya berkumpul untuk raikan hari pertama Ramadan.

Siti Salwa Roslan, 37 berkata, setiap adik-beradiknya akan memasak lauk pilihan masing-masing dan berbuka puasa bersama di kediaman ibunya.

“Memang rumah ibu menjadi pilihan pada hari pertama Ramadan. Menu yang disediakan pula termasuk gulai ikan, atau asam pedas.”

Nurfasehah Muhamad Akhir, 35 telah membuat perancangan awal dan membuat pembelian bagi bekalan untuk beberapa hari pertama Ramadan.

“Selalunya lauk pauk dimasak untuk waktu berbuka lebih istimewa berbanding kebiasaannya. Waktu sahur menu mudah lebih menyelerakan.”

Bagi Fadzillah Ramli, 57 pula, bazar ramadan menjadi pilihan bagi menu berbuka puasa.

“Anak saya ada yang sudah berkahwin. Jadi kami di rumah lebih selesa mendapatkan lauk pauk di bazar ramadan. Sahur sebaliknya akan disediakan dirumah melibatkan menu yang mudah dan mengenyangkan.”

Peniaga daging lembu, Jamalul Irwan Jamaluddin, 45 berkata pihaknya telah membuat persiapan awal bagi menampung permintaan sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Stok sentiasa ada, Insyaallah. Keadaan tahun ini jauh berbeza dengan sebelum ini dimana ramai yang balik kampung sempena Awal Ramadan. Jadi memang ramai pengunjung hari ini.”

Peniaga Ikan, Fazli Mat, 48 pula cuba menyediakan bekalan mengikut permintaan pembeli.

“Pilihan ikan pada bulan Ramadan tertumpu kepada ikan bersaiz besar seperti jenahak dan tenggiri. Tahun ini dijangka ramai orang, jadi persediaan dibuat awal. Ikan laut ini bekalannya tidak menentu.”

Loading...
Terkini