comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO nafi aku janji sokong Zahid calon PM

Datuk Seri Ahmad Maslan ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional dan Manifesto di Kompleks Educity, Johor, malam tadi. – Foto: NSTP

ISKANDAR PUTERI: UMNO menafikan kewujudan aku janji ikrar calon parti itu untuk mencalonkan dan menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata isi kandungan aku janji yang tular itu adalah fitnah kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Itu tak betul. Tiada langsung perkataan itu. Itu adalah fitnah. Hendak sebut untuk lepaskan dari mahkamah juga adalah fitnah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera BN di Indoor Arena Educity di sini, malam tadi.

Terdahulu, tular dokumen dengan kepala surat UMNO memaparkan tandatangan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO serta Pengerusi BN dan Ahmad Maslan, selepas pengumuman rasmi calon BN semalam.

Isi kandungan aku janji itu antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU-15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Dokumen tular itu turut menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU-15.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga calon BN di Parlimen Pontian menegaskan aku janji yang ditandatangani calon UMNO dan BN itu wujud namun dengan isi kandungan yang berbeza sama sekali.

Katanya, aku janji itu antara lain menyebut mengenai pentingnya sebagai calon untuk setia kepada parti.

“Saya hendak sebutkan bahawa semua calon yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor turut tandatangani aku janji untuk setia kepada parti.

“Untuk PRU15 kali ini, mereka juga tandatangan aku janji, ia bukan satu masalah kerana untuk keutuhan parti.

“Kita tidak mahu kejadian lompat parti berlaku. Ia terbukti apabila di Sabah tidak ada kejadian lompat parti berlaku kerana ada aku janji yang kita tandatangani,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini