KOTA KINABALU: UMNO Sabah mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menghasut rakyat negeri ini menerusi provokasi melampau dikaitkan dengan cubaan membawa keluar Sabah dan Sarawak dari Malaysia.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, perbuatan itu tidak boleh dibiarkan kerana akan menjejaskan semangat kerjasama, perpaduan dan keselamatan rakyat negara ini secara keseluruhan.
“Perbuatan kumpulan ini sengaja mahu memporak-perandakan negara,” kata Ahli Parlimen Libaran itu dalam kenyataan.
Beliau mengulas provokasi pihak tidak bertanggungjawab mahu membawa keluar Sabah dari Malaysia yang tersebar menerusi laman media sosial, baru-baru ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti bendera Sabah dan Sarawak.
Razarudin berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu, kononnya sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.
Setakat ini katanya, polis menerima 35 laporan berkait penyebaran video itu, dengan 34 daripadanya di Sabah dan satu lagi di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Suhaimi berkata, jika ada masalah dalam hubungan persekutuan – negeri, ia boleh dibincangkan dengan baik, bukan dengan menguar-uarkan dan memanaskan hati rakyat serta menghasut mereka berfikiran bukan-bukan.
Malah, katanya jika ia dikaitkan dengan isu Perjanjian Malaysia 1963 (M63), perkara itu sudah ditangani melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang setakat ini menyelesaikan sebanyak 11 tuntutan dengan tujuh daripadanya di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suhaimi berkata, Perdana Menteri begitu konsisten dan teliti memastikan semua tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak dipenuhi demi merealisasikan hak yang diperjuangkan kedua-dua negeri.
Selain itu, Suhaimi berkata, kenaikan kadar pembayaran khas interim kepada Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan juga adalah bukti Perdana Menteri prihatin serta memahami secara mendalam isu berkaitan kenaikan kos di kedua-dua negeri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.