comscore
Tumpuan :
Nasional

UMP, PKPP jalin kerjasama fokus tiga bidang utama

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dalam membangunkan bidang perladangan, pertanian dan penternakan.

Menerusi kerjasama itu, UMP akan menjalankan kajian dan penyelidikan bersama membabitkan perkongsian data serta maklumat.

Ia berkaitan dengan penyelidikan, inovasi, perundingan, khidmat teknikal, pengkomersialan dan lain-lain dalam bidang kerjasama berkaitan dengan sektor perkhidmatan PKPP iaitu sektor komersial dan sosial.

Manakala, PKPP akan menyediakan kemudahan dan bantuan sokongan bagi pembangunan kajian serta penyelidikan dan memanfaatkan kemudahan PKPP bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan yang dipersetujui bersama.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu disempurnakan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Kamal Zuhairi Zamli bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Datuk Suhaimi Mohd Yunus dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, DatukHajah Sarwah Mohamed Jusoh.

Hadir menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini

Dr Yuserrie berkata, hasil kerjasama itu, satu projek ubah suai dan naik taraf jentera Crawler bagi penggunaan di ladang sawit milik PKPP mula dibangunkan oleh penyelidik UMP daripada Pusat Kejuruteraan Automotif dan Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi.

Katanya, kerjasama strategik itu bakal meneroka lebih banyak peluang berkaitan bidang pendidikan tinggi seperti kolaborasi penyelidikan, pertukaran kepakaran dan pelajar dan program mobiliti.

“UMP sebagai sebuah universiti yang bercirikan teknologi dan kejuruteraan sentiasa berinovasi dan berkolaborasi dengan mengupayakan kebolehan teknikal.

“Selain itu penerokaan teknologi berimpak tinggi seiring dengan agenda Pelan Strategik UMP 2021-2025 ke arah universiti teknologi terunggul,” katanya.

Loading...
Terkini