comscore
Tumpuan :
Nasional

UMS pastikan pelajar kurang berkemampuan dapat bantuan dan sokongan moral

Foto menunjukkan guni yang digunakan oleh seorang pelajar ketika pendaftaran pelajar baharu di UMS.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertindak segera membantu pelajar kurang berkemampuan di universiti itu selepas seorang pelajar yang baru mendaftar dilihat menggunakan guni plastik sebagai bagasi.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, beliau sudah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk membantu pelajar terbabit dan pelajar lain.

Katanya, UMS akan memastikan pelajar yang memerlukan bantuan dari segi keperluan peribadi atau sokongan moral diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Langkah ini bagi memastikan mereka dapat mengikuti pengajian dengan baik dan memberi dorongan serta semangat kepada pelajar kurang berkemampuan dari golongan B40,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook beliau.

Beliau turut berkongsi gambar pertemuannya dengan pemilik bagasi guni plastik yang tular sebelum ini, Rafida Zaiddin pada Majlis Suai Mesra pelajar baharu di Dewan Canselor UMS.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan Rafida yang berasal dari Kampung Sim-Sim, Sandakan, menggunakan guni plastik untuk memuatkan barangan peribadi sebagai tindakan yang kreatif dan menjimatkan.

Difahamkan, Rafida bersama bapanya membawa bagasi daripada guni plastik itu menaiki bas dari Sandakan untuk mendaftar sebagai pelajar baharu di UMS, kelmarin.

Rafida adalah antara 4,545 pelajar baharu yang diterima mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di UMS bagi sesi 2024 / 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini