comscore
Tumpuan :
Nasional

UMS perlu jadi pusat ilmu unggul, perkukuh kerjasama dengan industri – Hajiji

Ketua Menteri Sabah merangkap Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Hajiji Noor beramah mesra bersama pelajar baharu UMS pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor UMS – Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul sekali gus menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir.

Hajiji yang juga Pro Canselor UMS berkata hal ini termasuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

Beliau berkata kerajaan Sabah sentiasa membantu UMS ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, selain sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memperkasa ekonomi negeri.

“Kerajaan dan rakyat Sabah amat bangga dengan pencapaian semasa UMS yang telah membantu menjana transformasi pembangunan dalam pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutama di Sabah,” katanya berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 kali ke-30 UMS di sini hari ini.

Sebanyak 4,545 pelajar melanjutkan pengajian di UMS meliputi 14 fakulti di Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan bagi sesi akademik 2024/2025.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah sentiasa menjadikan pembangunan modal insan sebagai keutamaan kerana hanya dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat sekali gus menyumbang kepada kejayaan serta kecemerlangan negara khususnya Sabah.

Justeru katanya, usaha memperkasakan pembangunan dan infrastruktur pendidikan di negeri itu akan terus diberi perhatian dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing.

“Kerajaan negeri akan memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian hingga peringkat lebih tinggi menerusi pelbagai inisiatif diberikan merangkumi semua peringkat dari sekolah rendah, menengah hingga institusi pengajian tinggi.

“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 121,897 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan Yayasan Sabah melibatkan perbelanjaan RM868 juta sejak 1967 hingga Jun 2024, selain kerajaan negeri turut menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta pada 2023.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini