comscore
Tumpuan :
Nasional

Undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara: United, Bayern bakal berentap 

Bekas pemain Chelsea, Joe Cole mencabut kertas undi Manchester United pada majlis undian Liga Juara-Juara di Monaco, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

MONACO: Manchester United akan berdepan kelab Harry Kane, Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara musim ini.

Hasil undian peringkat kumpulan berlangsung awal pagi tadi juga menyaksikan pertembungan Paris Saint-Germain (PSG)  dan Newcastle United.

United dan Bayern akan menjadi pasukan pilihan untuk mara dari Kumpulan A yang turut menyaksikan kehadiran FC Copenhagen dan Galatasaray, juara Turkiye.

Kapten England, Kane menciap gambar peringkat kumpulan itu dengan berkata: “Tidak sabar untuk menunggu semua ini.”

Kumpulan F dilihat paling sukar menyaksikan Newcastle yang disokong kekayaan Arab Saudi bakal berdepan AC Milan dan Borussia Dortmund selain PSG yang ditaja kekayaan Qatar.

Newcastle tampil dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama bagi tempoh 20 tahun .

Kekurangan pembabitan dalam pertandingan kelab elit Eropah itu membayangkan mereka dalam kedudukan bahaya di balang keempat undian.

“Ia jelas kumpulan paling sukar, kami tidak boleh lari daripadanya, tetapi kami menerimanya,” kata Presiden Dortmund, Hans-Joachim Watzke kepada Sky Germany.

“Kami berharap dapat meraih sesuatu yang luar biasa.

“Selepas memenangi Liga Juara-Juara buat julung kali musim lalu, Manchester City mendapat undian mudah apabila berdepan RB Leipzig, Red Star Belgrade dan Young Boys dalam Kumpulan G.

Anak buah Pep Guardiola boleh menjangkakan jaringan besar menentang juara Serbia dan Switzerland manakala City membelasah Leipzig 8-1 secara agregat pada pusingan 16 terakhir musim lalu.

Kembali dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2016-17, Arsenal bakal berdepan juara Liga Europa, Sevilla, PSV Eindhoven dan Lens dari Perancis dalam Kumpulan B.

Real Madrid, pemegang rekod juara 14 kali yang merangkul trofi itu pada 2022, diundi bersama juara Itali, Napoli dalam Kumpulan C yang turut menampilkan Braga dari Portugal dan pasukan kali pertama bersaing Union Berlin.

Manakala, juara Sepanyol, Barcelona akan menentang Porto, Shakhtar Donetsk dan Royal Antwerp dari Belgium dalam Kumpulan H.

Naib juara musim lalu, Inter Milan pula berada dalam Kumpulan D bersama juara Portugal, Benfica, Red Bull Salzburg dan Real Sociedad dari Sepanyol.

Loading...
Terkini