comscore
Tumpuan :
Nasional

UniMAP arahkan penuntut kosongkan unit asrama yang terkesan akibat kebakaran

Kesan kebakaran pada awal pagi tadi yang menyebabkan 26 motosikal penuntut UniMAP di Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra musnah dan 10 buah lagi rosak.

ARAU: Pentadbiran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengeluarkan arahan pengosongan membabitkan penghuni Blok A dan Blok B Kompleks Perumahan Pauh Putra di sini susulan kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Dr Zaliman Sauli berkata arahan pengosongan kedua-dua blok asrama berkenaan berkuatkuasa hari ini bertujuan bagi memudahkan kerja siasatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis dan polis.

Katanya, semua penuntut yang terjejas dan memerlukan penginapan sudah diuruskan melalui perpindahan sementara ke kolej kediaman yang dikenalpasti.

“Malah, sebarang urusan keluar masuk penuntut perlulah mendapat kebenaran daripada Jabatan Keselamatan UniMAP bermula pada hari ini sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, UniMAP juga sedang mengumpulkan maklumat penuntut terbabit bagi tujuan penyaluran bantuan kebajikan yang bersesuaian.

26 buah motosikal musnah dan 10 lagi rosak dalam kejadian kebakaran di kolong Blok B Kompleks Perumahan Pauh Putra pada jam 4.30 pagi tadi.

Enam buah unit kediaman asrama penuntut di blok itu juga turut terkesan.

Ibu bapa atau penjaga kepada penuntut yang terkesan boleh menghubungi talian kecemasan pos kawalan utama iaitu 04-988 5747 dan pengurusan kolej kediaman di talian 019-4003422.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini