comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Unit udara bomba hantar makanan kepada Orang Asli

 

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, (JBPM) memulakan operasi penghantaran makanan asas hasil sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk Orang Asli di pedalaman, di sini, semalam.

Detasmen Komander Operasi, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Wahyudi Mohd Sayuhti, berkata operasi yang dijadualkan bermula pada Jumaat itu sebelum ini terpaksa ditangguhkan, berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Alhamdulillah hari ini (semalam) kami dapat meneruskan operasi yang dijadualkan pada Jumaat lalu. Sepanjang tempoh tiga hari itu, ketiga-tiga pesawat iaitu Agusta 109 E (A109E), Agusta Westland 189 (AW189) dan Mi-17-IV berada dalam keadaan bersedia.

“Untuk operasi hari ini (semalam) yang bermula jam 10 pagi, hanya membabitkan dua pesawat iaitu A109E dan AW189,” katanya ketika ditemui di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, di sini, semalam.

Anggota Unit Udara JBPM bersama APM, JAKOA dan JBPM Balai Bomba Gua Musang mengangkat bantuan makanan untuk dihantar ke Pos Pedalaman Orang Asli, di sini, semalam. – Foto NSTP

Wahyudi berkata, dalam operasi yang berakhir pada jam 4.45 petang itu, sebanyak 5.9 tan makanan berjaya dihantar ke Pos pedalaman Orang Asli.

“Operasi hari ini (semalam) membabitkan 10 penerbangan ke Pos Gob, Pos Simpor, Kampung Sempadik, Kampung Gawin dan Kampung Ladoi dengan jumlah keseluruhan untuk operasi ini 5.9 tan.

“Operasi ini bersambung esok (hari ini) sekiranya keadaan cuaca mengizinkan bagi menyelesaikan misi penghantaran sebanyak 25 tan makanan yang membabitkan 1,413 keluarga.

“Ini bukan pengalaman pertama kami berhadapan keadaan seperti ini terpaksa berkampung di sesuatu tempat kerana keadaan cuaca. Walau apa pun situasi kami tetap komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Menurutnya, operasi itu turut mendapat kerjasama daripada JBPM Gua Musang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Media sebelum melaporkan, lebih 37 tan bekalan makanan asas diagihkan kerajaan negeri kepada 2,086 keluarga Orang Asli di sekitar daerah ini yang terputus hubungan disebabkan jalan rosak.

Sumbangan makanan asas meliputi 11 barangan termasuk beras, gula, tepung, biskut dan sardin itu akan diagihkan kepada 10 pos kediaman Orang Ali termasuk enam melalui penghantaran udara yang dibantu Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Loading...
Terkini