Tumpuan :
Nasional

Universiti Al-Azhar setuju tawar biasiswa kepada pelajar Malaysia cemerlang dalam 3 bidang

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Universiti Al-Azhar Al-Sharif bersetuju untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang dalam tiga bidang iaitu perubatan, kejuruteraan dan teknologi.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memperluaskan akses pendidikan kepada pelajar dari Malaysia.

“Saya juga menekankan perlunya Malaysia dan Universiti Al-Azhar Al-Sharif memperkukuh kerjasama di rantau ASEAN, terutama dalam bidang teknologi dan penyebaran ilmu pengetahuan,” katanya dalam syarahan umum di Universiti Al-Azhar di sini, semalam yang dihadiri lebih 1,500 kakitangan dan pelajar universiti berkenaan.

Datuk Seri Anwar sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb.

Dalam perbincangan itu, beliau turut memaklumkan tentang cadangan memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama menerusi program Sains Islam (Ulum Islamiah) di antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Al-Azhar Al-Sharif, selain kolaborasi antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif.

Datuk Seri Anwar turut menyahut pelawaan Profesor Dr Ahmad Muhammad dalam menjayakan Majlis Hukama’ Al Muslimin di Kualq Lumpur dengan menamakan wakil Malaysia, termasuk seorang wanita.

Perdana Menteri juga zahirkan penghargaan atas usaha universiti berkenaan dalam membantu pelajar Malaysia.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar turut berkesempatan mengadakan kunjungan singkat ke Wisma Seri Mutiara iaitu bangunan asrama pelajar Pulau Pinang yang menuntut di Universiti Al-Azhar Al-Sharif.

Selain menyantuni pelajar, beliau turut menitipkan pesan supaya mereka dapat menuntut ilmu dengan baik dan menjaga nama Malaysia.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri juga menyaksikan penyerahan dana peruntukan bernilai RM780,000 oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada Wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah bagi proses penambahbaikan dan penyelenggaraan asrama lama Wisma Seri Pinang yang terletak bersebelahan bangunan baharu.

Loading...
Terkini