comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Upah OKU promosi pinjaman ahlong dan judi di Bazar Ramadan, suami isteri dicekup  


IPOH: Sepasang suami isteri ditahan berhubung aktiviti mempromosi pinjaman ceti haram atau ahlong serta judi dalam talian di kawasan Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini hingga ia tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Suspek lelaki dan wanita berumur 54 dan 53 tahun itu yang berasal dari Sitiawan di Manjung, disyaki dalang utama, ditahan jam 12.45 tengah malam tadi di Sitiawan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, polis mengesan video tular terbabit pada Jumaat lalu yang memaparkan tindakan seorang lelaki OKU yang ditegur dan dinasihatkan oleh peniaga bazar Ramadan itu supaya beredar selepas lelaki itu didapati mempromosikan kegiatan judi dan ahlong.

Kata Mohd Yusri, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati lelaki berkenaan mengaku mengunjungi bazar Ramadan itu bersama dua lagi lelaki yang diupahnya untuk menyebar dan mempromosikan perniagaan pinjaman ahlong yang dijalankannya sejak tahun 2022.

Jelasnya lagi dua lelaki yang bersama dengannya di bazar ketika hari kejadian itu merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang diupah untuk mengedarkan kad promosi aktiviti haram berkenaan dengan bayaran RM30 seorang.

“Bertindak atas maklumat, suspek suami isteri yang merupakan dalang sebenar kes berjaya dikesan dan ditangkap, dengan polis turut merampas sebuah telefon bimbit, buku catatan senarai peminjam wang, sebuah kereta, serta 120 keping kad tertera iklan pinjaman wang dan judi dalam talian.

“Semakan yang dibuat berdasarkan buku catatan yang dirampas mendapati 90 peratus peminjam wang daripada suspek merupakan bangsa Melayu yang berada sekitar daerah Manjung.

Suspek dipercayai bertindak demikian bagi mengembangkan perniagaannya dengan mencari peminjam baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Mohd Yusri, suspek juga mengaku bahawa perniagaan pinjaman wang haram yang dilakukannya mengenakan jumlah bunga yang tinggi dan perlu dibayar secara harian.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan termasuk bagi mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Terdahulu, pemilik akaun Facebook, Oppa Zuzu Kitchen yang dipercayai merupakan peniaga di Bazar Ramadan Stadium Perak memuat naik hantaran berbentuk video memaparkan kegiatan lelaki yang menyebarkan mini plakad iklan judi dan ahlong.

Menerusi keterangan bertulis dalam video itu, perbuatan individu yang mempromosikan aktiviti terbabit dikatakan sudah ditegur namun pelakunya masih berdegil dengan terus mempromosikan kegiatan itu di bazar berkenaan khususnya kepada peniaga di situ.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini