comscore
Tumpuan :
Nasional

UPM sedia 13 bas percuma kepada 482 pelajar balik kampung

Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah (dua dari kanan) bertemu pelajar pada Program Jom Balik Raya @ WAZAN 2.0. Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan bas secara percuma kepada pelajar asnaf untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan – FOTO: NSTP

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan sebanyak 13 buah bas secara percuma kepada kira-kira 482 orang pelajar asnaf untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, ia melibatkan perjalanan seluruh Semenanjung Malaysia dibiayai sepenuhnya, menggunakan dana zakat disalurkan Plus Malaysia Berhad (PLUS) melalui Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

FOTO: NSTP

“Ia merupakan program tahunan yang diadakan dalam bulan Ramadan yang penuh barakah untuk meringankan bebanan kewangan pelajar UPM dalam kalangan asnaf untuk pulang ke kampung menyambut ketibaan Aidilfitri bersama keluarga tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Jamaie Bersempena Program Jom Balik Raya UPM@WAZAN 2.0 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, pada majlis ini juga, Bank Islam Malaysia Berhad membuat serahan dana zakat kepada UPM berjumlah RM30,000 bagi menyantuni pelajar asnaf dalam pelbagai bentuk bantuan.

FOTO: NSTP

“Ia akan diselaraskan oleh pihak UPM melalui WAZAN serta kehadiran pihak Embroidery Zone (Baraplas Kreatif Enterprise) yang telah menaja beg juadah moreh kepada para pelajar asnaf yang akan menaiki bas untuk pulang berhari raya pada malam ini.

“Pihak UPM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PLUS, Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad dan Embroidery Zone (Baraplas Kreatif Enterprise) atas sumbangan diberikan untuk memastikan kebajikan pelajar UPM yang berkeperluan terus terpelihara,” katanya.

Menurutnya, program seperti ini sangat bertepatan dalam kerangka hala tuju strategik UPM iaitu ‘True North’ dalam memfokuskan kepada pengukuhan komuniti kampus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini