comscore
Tumpuan :
Nasional

UPSI buka Sekolah Rendah Seri Budiman

Prof.Datuk Dr Md Amin (bertali leher, duduk tengah) bersama tetamu melawat fasiliti dan anak-anak SRSB di Kompleks Akademik, Kampus Sultan Azlan Shah. Foto Ihsan UPSI.

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maju setapak lagi dengan inisiatif baharu menubuhkan Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) bagi melebarkan fungsinya sebagai sebuah universiti pendidikan ulung negara.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pengambilan sulung membabitkan seramai 28 murid Tahun 1 dan beliau berkeyakinan sekolah yang diwujudkan itu akan mencapai kejayaan, pembelajaran dan pencapaian yang membanggakan.

“UPSI menyokong pendidikan di sekolah ini yang dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), malah konsep BITARA adalah pendekatan yang mampu memacu kejayaan, tidak hanya di peringkat nasional, tetapi juga antarabangsa”, katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka SRSB di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Prof Datuk Dr Md Amin bergambar bersama Dr. Kama dan penggerak kepada penubuhan SRSB. Foto Ihsan UPSI.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua warga kerja Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan dan UPSI Holdings Sdn Bhd yang berjaya merealisasikan impian UPSI untuk mewujudkan sekolah swasta di dalam kampus tercinta ini selepas berusaha selama 12 tahun.

Sementara itu, Guru Besar SRSB, Dr. Kama Shaffeei dalam ucapan aluannya menekankan bahawa fokus sekolah untuk melahirkan pemimpin masa depan, mengintegrasikan pendekatan neoterik berasaskan teknologi, serta memberi tumpuan kepada kerjasama dengan ibu bapa melalui “Parent Support Group (PSG).

“Fasiliti UPSI baik dari kolam renang, stadium sehingga ke perpustakaan. Kesemuanya terbuka kepada warga SRSB, termasuk khidmat nasihat pakar pendidikan” katanya.

Konsep penubuhan sekolah ini, katanya, sebagai perkongsian kepakaran dan usaha bersama untuk menerjemahkan idea serta inovasi dalam kurikulum dan menjadi platform rujukan pendidikan, menerapkan kaedah pembelajaran inovatif dan penyelidikan terkini.

Sempena perasmian SRSB, diadakan aktiviti Hari Terbuka yang memberi peluang kepada hadirin untuk melihat lebih dekat fasiliti dan program-program yang ditawarkan oleh SRSB.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini