comscore
Tumpuan :
Nasional

UPSI Sahut Inisiatif Kerjasama Penyelidikan Dengan Bank Dunia

 

 

Foto: Metro

KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dipilih sebagai universiti pertama untuk berkolaborasi dengan Bank Dunia.

Kolaborasi itu akan melaksanakan penyelidikan berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak dalam konteks pembangunan inklusif dan kelestarian kewangan di Malaysia.

Justeru, UPSI diwakili Naib Canselor Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menandatangani surat niat kerjasama bersama Pengurus Bank Dunia Dr Yasuhiko Matsuda di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini, pada Isnin lalu.

Md Amin berkata, inisiatif yang diambil kedua-dua pihak bertujuan membantu dalam memberi pemahaman kepada komuniti dan negara berkaitan isu serta cabaran asuhan dan didikan kanak-kanak di Malaysia.

“UPSI akan membantu Bank Dunia melengkapkan laporan mengenai kanak-kanak dan pusat asuhan di samping penyelidikan kuantitatif tentang penentuan akses awal pendidikan kanak-kanak untuk isi rumah berpendapatan rendah berdasarkan data daripada Pusat Data Kanak-kanak Kebangsaan (NCDC) yang dibangunkan oleh NCDRC, ” katanya.

Sehingga kini, katanya, NCDC berjaya merekodkan 74,292 kanak-kanak, 21,626 pendidik dan 4,731 pusat asuhan di Malaysia.

Menurut beliau, data yang direkodkan mampu membantu pihak berkepentingan dalam memberi manfaat bukan sahaja kepada aspek asuhan dan perkembangan kanak-kanak, malah melonjakkan ekosistem pendidikan awal usia di Malaysia.

Berdasarkan keperluan untuk memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di peringkat antarabangsa, katanya, kerjasama dengan Bank Dunia bakal mewujudkan kepakaran dua hala bagi memberi manfaat melalui perolehan data yang komprehensif dalam bidang berkenaan.

NDCRC yang berperanan sebagai pusat penyelidikan, pembangunan pengajaran dan pengeluaran produk kanak-kanak, menjadi pilihan yang tepat bagi Bank Dunia dalam mendapatkan maklumat berkaitan gambaran melalui data berkaitan Perkembangan Kanak-kanak, Pusat Asuhan Kanak-Kanak, Pengasuh dan Pengusaha Taska di Malaysia.

“Diharapkan dengan kerjasama melalui penyelidikan ini bakal memberi manfaat kepada UPSI untuk merealisasikan misi NCDRC menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang pertama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pertama di Malaysia selain meningkatkan lagi penarafan UPSI di persada antarabangsa,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI Prof Dr Suriani Abu Bakar, Pengarah NCDRC Prof Madya Dr Mazlina Che Mustafa, penyelidik NCDRC serta pakar ekonomi dari Bank Dunia bagi menyaksikan majlis merealisasikan kerjasama bersejarah itu.- Harian Metro

Loading...
Terkini