
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menampilkan satu lagi projek kelestarian alam dan kesejahteraan yang bukan sahaja untuk dinikmati warga UPSI, malah daerah Muallim.
Menurut Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff , kedua-dua kampus UPSI iaitu Kampus Sultan Sultan Azlan Shah dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah terletak di sisi Banjaran Titiwangsa yang indah.
Justeru katanya, Tasik Banjaran sepanjang 530 meter ini dibangunkan untuk membolehkan UPSI menganjurkan pelbagai aktiviti air bertaraf antarabangsa serta program keusahawanan akuakultur.
“Di keliling tasik, sedang dibina trek larian sepanjang 2.4 kilometer yang membolehkan pelaksanaan program pembudayaan gaya hidup sihat dan kesihatan mental dalam kalangan warga UPSI dan komuniti Tanjung Malim.
Beliau berkata di tepi tasik akan dibina Waterfront Café, Glamping Park dan pelbagai program rekreasi luar.
Inisiatif ini, katanya bakal menjana pendapatan, peluang pekerjaan dan juga menjadi destinasi pelancongan baharu bukan sahaja untuk masyarakat sekitar daerah Muallim, malahan negeri Perak.

“Projek ini dilaksanakan selaras dengan seruan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan kerajaan sebagai inisiatif memasyarakatkan universiti, sekali gus merapatkan hubungan universiti dengan komuniti.
Beliau berkata pelbagai aktiviti bersama komuniti luar serta pelbagai agensi kerajaan dijangka mendapat sambutan dengan siapnya prasarana di sekeliling Tasik Banjaran yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah.
Sebelum ini UPSI membangunkan UPSI Adventure Park untuk pelbagai pihak mengadakan program kursus pembinaan pasukan yang dikendalikan pakar-pakar rekreasi luar UPSI dan mendapat sambutan sepanjang tahun.
Selain itu UPSI mempunyai kolam renang bersaiz Olimpik dan tidak lama lagi akan siap gelanggang boling dan ‘driving range’ untuk peminat golf sekali gus akan memeriahkan Kampus Sultan Azlan Shah.