comscore
Tumpuan :
Nasional

Urus niaga pembaharuan cukai jalan oleh BJAK tidak diluluskan JPJ

Oleh:Rusyaidi Hafiz Shahid

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan tidak pernah memberi kelulusan kepada pihak BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

Menerusi satu kenyataan, JPJ turut memaklumkan kenyataan yang dipaparkan oleh pihak terbabit melalui laman sesawang iaitu “Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ” juga adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

“JPJ memandang serius terhadap kandungan iklan yang telah dikeluarkan oleh pihak BJAK Sdn. Bhd. (BJAK) melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuklah program pemberian cukai jalan secara percuma.” menurut kenyataan itu.

JPJ juga telah menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.

 

Disamping itu, JPJ juga menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK.

Dalam masa yang sama, JPJ telah menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang mana perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK.

MOT atau JPJ menegaskan tidak pernah meluluskan sebarang pengenaan caj tambahan, yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.

JPJ menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM) sahaja.

Selain menegaskan bahawa pengoperasian yang dilakukan oleh pihak BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran JPJ.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini