comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Usah Cemari Uniform Dipakai’

KUALA LUMPUR: “Kepada pegawai dan anggota polis, jaga integriti, jangan terbabit rasuah, jangan cemari pasukan dan uniform yang dipakai. Baru masyarakat akan menghormati kita.”

Demikian nasihat bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang melihat bahawa faktor utama agensi penguatkuasaan boleh dipandang tinggi oleh masyarakat adalah sentiasa menjaga amanah yang diberikan.

Musa berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya berdepan dengan tugas berat serta cabaran baharu khususnya pada era media sosial.

“Kita sebagai sebahagian pasukan keselamatan perlu sentiasa menjaga integriti dan jangan sesekali terbabit dalam salah guna kuasa apatah lagi terbabit dalam rasuah.

“Pasukan ini juga perlu melaksanakan tugas dengan adil dan tegas supaya keamanan negara dapat menjadi keutamaan tanpa memikirkan siapa orang itu, apa kedudukan orang itu atau apa pangkat seseorang itu,” katanya.

Beliau berkata, sambutan kemerdekaan ini dilihat hambar apabila kurangnya pembabitan generasi muda dalam semangat mengibarkan Jalur Gemilang sedangkan roh kemerdekaan itu perlu dipupuk.

Menurutnya, zaman media sosial ini sesiapa saja boleh menzahirkan pandangan dan adakalanya pandangan berkenaan mampu menjejaskan keselamatan, sekali gus ia adalah cabaran baharu untuk PDRM.

Sebagai orang lama dalam PDRM, beliau menegaskan supaya polis tidak terikut-ikut terhadap tekanan daripada sesetengah pihak sebaliknya melaksanakan tugas siasatan dengan penuh amanah serta berintegriti.

“Semangat patriotisme ini perlu kita pupuk dengan beberapa cara. Antaranya, kita perlu kenang kembali jasa pengorbanan yang dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu termasuk mereka yang terkorban dalam mempertahankan tanah watan ini.

“Jika kita telusuri sejarah kemerdekaan negara, pasti kita akan membaca atau mengetahui ramai dalam kalangan anggota keselamatan serta perajurit yang mengorbankan diri mereka semata-mata untuk melihat waris keturunan bangsanya hidup dalam keadaan aman seperti hari ini.

“Apabila kita kurang mengajar anak cucu kita tentang jerih payah untuk mencapai kemerdekaan, jadi penghargaan kepada Hari Merdeka itu agak kurang dan saya rasa tidak keterlaluan jika saya katakan ia hambar pada hari ini,” katanya.

Menurut beliau, semua peringkat masyarakat perlu menghargai kemerdekaan ini kerana harga untuk sebuah kebebasan ini mahal.

“Ia dibayar oleh pengorbanan, air mata dan darah,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini