
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, SPRM perlu dibiarkan melakukan siasatannya tanpa diganggu mana-mana pihak.
Katanya, sebarang komen mengenai proses siasatan agensi penguatkuasaan itu boleh dilihat sebagai satu campur tangan dan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Saya fikir eloklah kita jangan kacau SPRM dalam proses siasatan. Kita tidak mahu komen kita seolah-olah kita campur tangan dalam siasatan dan kerja mereka.
“Jadi, saya tidak ada komen, biarkan mereka (SPRM) buat kerja mereka,” katanya ditemui media selepas Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina AFFIN Bank Berhad, di sini, malam tadi.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, semalam yang mengesahkan seramai 18 ADUN Sabah diambil keterangan berhubung skandal rasuah yang dikaitkan dengan projek mineral di negeri itu.
Masidi yang juga Adun Karanaan adalah antara yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah itu berdasarkan rakaman video perbualannya yang disebarkan melalui sebuah portal berita, baru-baru ini.
Berikutan penyebaran video itu, Masidi datang sendiri untuk memberi keterangan kepada SPRM dan menjelaskan bahawa tiada apa yang perlu disembunyikan berhubung dakwaan skandal terbabit.
Semalam, Azam mendedahkan seramai 18 ADUN Sabah dirakam keterangan berhubung kes rasuah perolehan projek mineral di Sabah dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum akhir Januari ini.
Azam memberi jaminan akan memaklumkan perkembangan terbaharu kes itu pada Februari depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.