comscore
Tumpuan :
Nasional

Usah tolak tawaran pendidikan MARA sekalipun ada masalah kewangan – Asyraf Wajdi

Tangkap layar kiriman Asyraf Wajdi di FB mengenai pertanyaan ibu bapa kewajaran tangguh kemasukan ke IKM kerana tak dapat sediakan yuran RM350

KUALA LUMPUR: Ibu bapa tidak seharusnya menolak tawaran belajar di institusi pendidikan di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA) sekalipun berdepan masalah kewangan atau kekangan melunaskan bayaran yuran.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar juga diingatkan supaya tidak menangguhkan kemasukan pengajian kerana ia peluang mengubah nasib diri dan keluarga dengan tawaran kerja yang tersedia.

“Saya ada terima mesej peribadi di Facebook pagi tadi daripada seseorang mengatakan anaknya menerima tawaran ke Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut tetapi mereka mempunyai masalah kewangan untuk membayar pendaftaran RM350.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Beliau meminta pandangan saya, sama ada perlu menangguhkan atau menolak tawaran berikutan kekangan kewangan.

“Saya tegaskan jangan sesekali tangguh atau tolak tawaran itu. Ia kerana IKM atau mana-mana institusi pendidikan MARA memberi keutamaan membantu pelajar miskin dan daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pagi ini.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, beliau juga sudah mengarahkan semua institusi pendidikan MARA menerima kemasukan pelajar yang tidak mampu membayar yuran atau bayaran awal lain.

“Saya sudah minta semua institusi pendidikan MARA, jika ada kes pelajar yang tidak mampu bayar yuran atau kos-kos awalan lain, terima dahulu mereka masuk dengan mereka boleh membayar secara ansuran atau banyak kaedah lain untuk membantu.

“Yang penting ambil peluang masuk dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau kemahiran yang disediakan MARA kerana ia mampu mengubah nasib diri dan keluarga dengan tawaran kerja yang tersedia berserta potensi gaji yang lumayan dan bermaruah,” katanya.

Di ruangan komen Asyraf Wajdi turut mengulas lanjut bahawa saranannya supaya ibu bapa dan pelajar tidak tangguh pengajian kerana tak mampu sediakan yuran bukan sahaja terpakai kepada IKM tapi juga untuk semua Institusi Pendidikan MARA termasuk MRSM, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Profesional Mara, Kolej Mara, Kolej Polytech-Mara, UniKL, UPTM.

“Harap dapat dikongsikan dengan mana-mana yang hadapi kesukaran serupa,” katanya.

Loading...
Terkini