comscore
Tumpuan :
Nasional

Usaha tangani isu gangguan seksual murid perlu pembabitan semua pihak – KPM

Fadhlina (kiri) ketika ditemui pada Majlis Pengisytiharan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussein. – FOTO: NSTP

ARAU: Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai garis panduan bagi menangani isu gangguan seksual dalam kalangan murid terutama dalam isu pemulihan emosi mangsa kes berkenaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan itu, kementerian mahu semua sekolah mengambil perhatian terhadap isu berkenaan serta menggunapakai garis panduan itu.

“Ia juga perlu ditangani dengan pembabitan semua pihak.

“Selain itu, kita juga memperkukuhkan guru kaunseling untuk membantu dan memberi sokongan psikososial kepada anak-anak ini, tapi yang penting kita harus memastikan sekolah ini selamat.

“Kedua mereka mempunyai platform yang boleh dipercayai untuk berkongsi isu (kejadian). Ini maknanya yang paling penting adalah apa tindakan sekolah apabila mendapat tahu ataupun dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengisytiharan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussein di sini, hari ini.

Majlis pengisytiharan itu disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Fadlina berkata, bagi menangani isu itu, kementerian dengan kerjasama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengadakan beberapa konvensyen bagi mengatasi isu gangguan seksual di peringkat sekolah.

Katanya, ia bagi memperkasakan dari segi undang-undang termasuk garis panduan serta pengurusan di peringkat sekolah.

Sebelum ini media melaporkan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin membimbangkan dan perlu ditangani selepas banyak kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak bawah umur direkodkan kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilapor berkata, perkembangan ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini