Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diseru untuk memanfaatkan platform Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan mempamerkan produk mereka pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu golongan berkenaan melakukan persediaan dari sekarang.
“Saya telah merancang bersama Pengerusi dan Ketua Pengarah MARA serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bahawa Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN.
“Untuk itu, saya ingin bawa saudara untuk mempamerkan produk di Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China yang diadakan pertengahan tahun depan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2023/2024, di sini malam ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berhasrat membawa rombongan terdiri daripada usahawan MARA untuk menyertai MIHAS@ Shanghai, China pada tahun depan dalam usaha mempromosikan produk mereka ke peringkat global.
Jelasnya, ketika di MIHAS@Dubai 2024 baru-baru ini, beliau terkejut dengan jumlah jualan yang diterima oleh 15 usahawan MARA iaitu sebanyak RM137 juta yang disifatkan sebagai pencapaian luar biasa.
“Tetapi kita jangan berhenti dan meletakkan noktah di sini saja kerana jualan MIHAS@Dubai untuk negara kita selama tiga hari, jumlahnya adalah RM2.2 bilion,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mahu MARA menambah peruntukan bagi Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) bagi memperkasakan usahawan tersebut termasuk galakan untuk mengembangkan perniagaan.
“Pada tahun 2026, apabila bajet diumumkan tahun hadapan, untuk usahawan MARA, bukan sekadar RM485 juta yang akan diperuntukkan (tahun 2025) malah saya mahu lebih daripada RM500 juta diperuntukkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.