comscore
Tumpuan :
Nasional

USJT Bukit Aman siasat Hadi dakwaan mahu jatuhkan kerajaan 

 

Tan Sri Abdul Hadi Awang. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR : Siasatan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan, dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya sudah menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu, yang dibuat Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

“Kes berkenaan akan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya ringkas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini, katanya dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu berkenaan.

Laporan polis itu dibuat EXCO Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua AMK Selangor, Izuan Kasim, berhubung kenyataan Abdul Hadi yang mengakui terdapat usaha dijalankan PN dan parti blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi pada Isnin lalu berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN itu berdasarkan sistem demokrasi diamalkan Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya ataupun Surat Akuan Berkanun (SD).

Loading...
Terkini