comscore
Tumpuan :
Nasional

Ustaz didakwa lakukan amang seksual 5 pelajar lelaki

Foto: NSTP

BUTTERWORTH:  Seorang ustaz didakwa di Mahkamah Sesyen, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar lelaki di sebuah pusat pengajian tahfiz, antara September 2022 hingga Jun lalu.

Tertuduh berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah  selepas lima kertas pertuduhan dibacakan berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah sewa di Tasek Gelugor pada jam 3 pagi, Jun lalu.

Sementara pertuduhan kedua hingga kelima pula, tertuduh yang sudah berumahtangga didakwa melakukan perkara sama terhadap empat lagi pelajar lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun di asrama tingkat bawah pusat tahfiz di Padang Menora, Tasek Gelugor antara Januari hingga September 2022.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi hukuman mengikut Seksyen 16 akta berkenaan, tertuduh boleh dipenjara lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang dua kali, jika didapati bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Imran Farouk.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dihadapinya dan dilarang mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes disebut semula 17 Januari depan untuk serahan dokumen.

Loading...
Terkini