Tumpuan :
Nasional

Utamakan guna bahasa Melayu di tempat awam – Dr Awang Sariyan

Sebahagian daripada papan tanda yang mengutamakan bahasa asing daripada bahasa kebangsaan ketika tinjauan sekitar Kuala Lumpur. -FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Penguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) aalah berdasarkan Undang-undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 yang selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, ia bukanlah langkah menurut perasaan pegawai bahagian penguatkuasaannya.

 

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan

Menurutnya, tambahan pula, pemeriksaan itu dilakukan di premis yang tamat tempoh lesen perniagaannya dan dalam proses pembaharuan lesen.

“DBKL menegaskan pematuhan kepada Undang-undang Kecil Iklan yang turut menegaskan pengutamaan bahasa Melayu.

“Langkah itu tiada kaitan dengan sentimen perkauman atau penafian kepada bahasa lain, kerana undang-undang itu menyebut keutamaan penggunaan bahasa Melayu dan jika ada keperluan menggunakan bahasa lain, ruang tetap diberikan dengan syarat bahasa asing tidak kelihatan lebih utama, seperti saiz hurufnya, warna dan kedudukannya pada iklan atau bahan peragaan lain di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro umpama di bumi asing selepas Jalan Silang dan Lebuh Pudu yang terkenal dengan jolokan ‘Mini Dhaka’, jelas kelihatan tulisan Nepal, Bangladesh dan sebagainya di restoran, kedai gunting rambut, kedai tukaran mata wang serta pelbagai premis lain.

Awang Sariyan berkata, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia, milik semua warganegara Malaysia tanpa mengira etnik atau keturunannya.

“Maka penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang yang ditetapkan oleh undang-undang negara, termasuk di tempat awam, tiada kaitannya dengan soal perkauman.

“Bahasa Melayu bukan milik eksklusif orang Melayu. Semua warganegara Malaysia, tanpa mengira kaum, ialah pemilik sah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Penegasan penggunaan bahasa Melayu adalah untuk kepentingan semua warganegara, terutama untuk perpaduan. Maka salah anggapan bahawa penegasan itu melibatkan kepentingan orang Melayu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, logiknya, Amerika Syarikat menetapkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaannya dan semua warganegara tanpa mengira keturunan perlu menguasai dan menggunakan bahasa itu.

“Di negara China terdapat 56 etnik yang berlainan bahasa dan kesemuanya disatukan melalui penegasan bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan negara itu. Pentingnya bahasa kebangsaan perlu difahami oleh semua pihak, apatah lagi yang bertaraf pemimpin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini