comscore
Tumpuan :
Nasional

UUM meterai MoU dengan 5 universiti di Turkiye

ISTANBUL: Universiti Utara Malaysia (UUM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan lima universiti terkemuka Turkiye di sini semalam.

Selain kerjasama akademik dan pembangunan mahasiswa, MoU berkenaan turut memberi fokus kepada bidang inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara universiti dan industri.

MoU ditandatangani Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan bersama rektor universiti terbabit.

Karabuk University diwakili Rektornya, Profesor Dr Fatih Kirisik; Ankara Yildrim Beyazit University diwakili Profesor Dr Ali Cengiz Koseoglu dan Dicle University oleh Profesor Dr Mehmet Karakoc.

Rektor Gebze Technical University oleh Profesor Dr Haci Ali Mantar dan Mardin Artuklu University oleh Naib Rektornya, Profesor Dr Yilmaz Demirhansar.

Majlis menandatangani MoU disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

MoU ini bakal menjadi platform bersama dalam membangunkan idea yang memberi manfaat kepada universiti terbabit serta pembangunan Malaysia dan Turkiye.

Melangkah ke hadapan, UUM dan lima universiti ternama di Turkiye itu akan turut menjalin kerjasama strategik menerusi pelantikan profesor pelawat, penyeliaan bersama program pasca siswazah serta dalam bidang penyelidikan dan penerbitan akademik.

Bagi program mobiliti mahasiswa, ia akan dilaksana di bawah Program Pertukaran Mevlana dan dibiayai dana Farabi manakala mobiliti kakitangan universiti melalui pembiayaan Erasmus.

Dari satu lagi segi, MoU berkenaan turut merangkumi penganjuran seminar serta webinar bersama dan program kerjasama akademik seperti penawaran ijazah berganda.

Bidang kerjasama ini bakal menyediakan peluang kepada penyelidik dan pelajar dalam memperoleh ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran menerusi pemindahan ilmu dan kepakaran.

Ia sekali gus memberi nilai tambah kepada industri di kedua-dua negara untuk kekal berada di hadapan berbanding pesaing di dalam bidang yang sama.

UUM berharap penyertaan daripada pihaknya dapat memainkan peranan kolektif dalam usaha meningkatkan nilai mahasiswa melalui pendidikan, penyampaian ilmu dan pengalaman serta membina kemahiran mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini