comscore
Tumpuan :
Nasional

Vape tetap haram bagi umat Islam 

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Walau apa sekalipun alasan, menghisap rokok elektronik atau vape adalah haram kepada umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pengharaman atau larangan penggunaan vape itu berdasarkan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang dicapai pada 21 Disember 2015.

Katanya walaupun terdapat alasan mengatakan bahawa vape atau rokok elektronik membantu golongan perokok tegar dalam proses mengurangkan gejala merokok, namun adalah wajar dielakkan penggunaannya terutama sekali kepada golongan yang berjinak-jinak tanpa sebarang tujuan munasabah.

Tegasnya, daripada perspektif syarak, hukum pengharaman memakan atau meminum atau mengambil bahan-bahan yang memudaratkan disebut oleh ulama daripada keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali dalam kitab-kitab mereka.

Beliau berkata ulama keempat-empat mazhab itu menyatakan bahawa bahan yang memudaratkan tubuh badan haram dimakan, diminum atau diambil sekalipun ia suci seperti racun, tanah, kaca dan seumpamanya.

Katanya, antara kriteria kemudaratan diambilkira oleh Islam dalam pengharaman sesuatu makanan atau minuman atau bahan ialah kemudaratan bahan itu terbukti dengan jelas atau nyata; pengambilan secara kebiasaannya (ghalib) boleh membawa kemudaratan; kemudaratan merangkumi kemudaratan yang berlaku secara segera atau secara perlahan.

Di samping itu, kemudaratan merangkumi sesuatu yang boleh membawa kematian, kehilangan/ kerosakan anggota, membawa penyakit berbahaya atau kemudaratan kepada akal; dan bahan yang memudaratkan itu tidak mempunyai sebarang manfaat yang muktabar.

“Kerajaan memandang serius penggunaan rokok elektronik atau vape dan isu-isu itu sering dibahaskan oleh ramai pihak dari pelbagai aspek. Berdasarkan perspektif agama, rokok adalah diharamkan atas beberapa faktor iaitu mengandungi pelbagai jenis racun seperti nikotin serta bahan-bahan kimia lain yang dipercayai boleh memudaratkan kesihatan.

“Pelbagai jenis penyakit dikenal pasti yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape seperti ketagihan, menggalakkan pembekuan darah, kematian mengejut, iritasi pada mata, tekak dan kulit serta mampu membunuh sel paru-paru.

“Begitu juga kandungan yang terdapat di dalam vape seperti nikotin, Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna yang boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam sebagai menjawab soalan dikemukakan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor).

Mohd Hasnizan meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) mengenai penggunaan vape yang memberikan kesan kepada kesihatan.

Loading...
Terkini