Tumpuan :
Nasional

Vessel pukat jerut bilis langgar syarat lesen ditahan

Oleh: Safwan Sawi

LAHAD DATU: Sebuah vessel pukat jerut bilis disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu di sekitar perairan Kunak, Selasa lalu.

Pengarah Maritim Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, vessel pukat jerut bilis terbabit ditahan di kedudukan 0.8 batu nautika Timur Laut Kunak Tiga lebih kurang pukul 1.30 petang oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang terlibat dalam OP PLUTO TIMUR 2/2013.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, vessel pukat jerut bilis dikendalikan dua warga tempatan berumur 19 dan 44 tahun serta seorang warga Filipina berumur 53 tahun bersama hasil tangkapan seberat lima kilogram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, vessel tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan terhampir.

Ujarnya lagi, nilai tangkapan adalah lebih kurang RM85,000 dan kesemua kru, bot serta hasil perikanan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Menurut Dzulfikhar, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 0169305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini