comscore
Tumpuan :
Nasional

Veteran MyWIRA bantu pesara ATM perolehi pekerjaan

FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Kerajaan memperkenalkan program Veteran MyWIRA bagi membuka laluan kerjaya pasca persaraan dan meningkatkan kemahiran veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan sebanyak  500 peluang padanan kerja ditawarkan pada tahun bagi projek rintis itu.

Ia adalah inisiatif kerjasama pertama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bersama Kementerian Pertahanan Malaysia menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha itu antara lain untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi dan bagi projek perintis tersebut sebanyak 500 peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji yang tinggi ditawarkan.

FOTO: NSTP

Beliau berkata inisiatif Veteran MyWIRA sejajar dengan prinsip pekerjaan yang bermakna dalam kerangka ekonomi MADANI dan selaras dengan tiga tunjang asas yang terapkan iaitu memperkukuh kebajikan pekerja, meningkatkan kemahiran dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja.

“Bagi projek perintis, Micron Memory Malaysia Sdn Bhd (Micron) iaitu sebuah syarikat yang meneraju ekosistem semikonduktor menjadi rakan industri dalam inisiatif tersebut akan menawarkan 25 peluang padanan kerja yang sesuai kepada veteran ATM dengan gaji RM2,900 hingga RM4,200 bergantung jenis pekerjaan.

“Inisiatif itu mempunyai potensi untuk diperluaskan dan kami sasarkan selepas dua tahun sebanyak 5,000 padanan pekerjaan bersama lebih ramai rakan industri lain, yang berkualiti dalam pelbagai bidang kepada para veteran ATM,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Veteran MyWIRA bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahar hari ini.

Tambahnya, program itu melibatkan tiga komponen utama iaitu mengguna pakai strategi pembinaan maklumat latar belakang pemohon kerja melalui sistem MyNext oleh Talent Corp dengan sistem tersebut berfungsi sebagai pengkalan data pintar bukan sahaja untuk memadankan pekerja dengan majikan yang sesuai, malah untuk merangka perancangan latihan dan sebagainya.

Jelasnya, komponen kedua merupakan komponen latihan oleh PERHEBAT iaitu dengan adanya sistem MyNext, maka pihak berkaitan boleh melakukan penyesuaian terhadap program peralihan pekerjaan untuk veteran.

“Komponen ketiga ialah komponen industri, iaitu Talent Corp akan bekerjasama dengan para majikan untuk memadankan pesara-pesara tentera yang telah dilatih semula untuk pekerjaan yang berkualiti di syarikat mereka,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata berdasarkan data daripada PERHEBAT seramai 3,000 hingga 5,000 anggota tentera dikesan tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas tidak lagi berkhidmat dalam ATM.

“Dalam pemantauan, kami mendapati secara keseluruhannya terdapat 24,000 anggota yang telah bersara, 19,000 bekas anggota telah dapat kita hubungi di mana seramai 3,000 hingga 5,000 daripadanya masih tidak berkerja.

’’Usia mereka rata-rata dalam lingkungan 32 hingga 40 tahun dan kebanyakan mereka berhenti dengan skim tidak berpencen,” katanya.

Loading...
Terkini