comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 18 PATI nyaris lemas, bot karam ketika cuba masuk ke Malaysia

FOTO: Tangkap layar video tular.

KUALA SELANGOR: Tindakan sekumpulan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini nyaris membawa padah apabila bot yang mereka naiki tiba-tiba karam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.55 pagi di kedudukan 11 batu nautika barat Kuala Selangor, di sini, kelmarin.

Mujur kesemua mereka sempat berenang ke sebuah rumah api yang terletak tidak jauh dari lokasi.

Kesemua mangsa terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia.

Mereka kemudian diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) tiga jam kemudian.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu daripada salah seorang ahli keluarga mangsa.

Ketika itu, kesemua mereka sudah pun berada di rumah api berkenaan.

Sebaik diselamatkan, mangsa dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Hamid berkata pemeriksaan mendapati 18 PATI itu cuba masuk melalui jalan yang tidak diwartakan, selain gagal menunjukkan dokumen sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini