comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ADUAN RAKYAT: Pencemaran Sungai Buloh jejas pendapatan nelayan

 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA SELANGOR: Pencemaran Sungai Buloh yang menyebabkan air bertukar hitam dan berbau di Kampung Bagan, Jeram, Kuala Selangor mengakibatkan pendapatan nelayan terjejas.

Kewujudan lebih 2,800 kilang di sekitar lembangan Sungai Buloh menyukarkan pemulihan dilakukan terhadap sungai terbabit apabila sisa buangan industri dipercayai dialir ke sungai berkenaan.

Malah penguatkuasaan yang lemah juga dikatakan menjadi punca isu itu berlarutan hampir 10 tahun.

Ketika tinjauan dilakukan air hitam dan busuk seakan bau longkang, itu yang dapat digambarkan krew kami ketika menyusuri sungai ini.

Tidak sampai lima minit menaiki bot, bau yang menusuk hidung cukup memeningkan kami.

Nelayan pantai, Kahar Buntal

Menurut nelayan pantai Kahar Buntal, 72, air sungai bertukar hitam sering berlaku pada sebelah pagi.

“Kalau sebelum ini ada masa air dibuang selang seminggu. Seminggu sekali, dia buang balik, lepastu kadang tiga empat kali buang, dan berhenti lagi, mungkin dia dengar aduan (sebab) tu dia berhenti kejap , lepastu buang balik dan kebiasaannya belah pagi,” ujarnya.

Dakwanya dia pernah memohon pihak berwajib untuk turun memantau pencemaran terbabit, namun usaha itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

Berdasarkan data di Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Sungai Buloh antara sungai utama di negeri itu yang berada dalam kategori tercemar, dengan bacaan 64 indeks kualiti air (IKA).

Pencemaran di sungai itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan, malah ia turut mencemarkan imej sungai berkenaan sebagai kawasan tarikan pelancong.

Pengurus Pelancong,Vivian Teoh Lay Wee

Menurut pengurus pelancong Vivian Teoh Lay Wee,38, air akan bertukar hitam dan berbau apabila ia surut.

“Kita bawa pelancong dari Korea dan China, pengunjung mengadu air busuk sangat dan berbau sampai tak boleh cakap, pengunjung dalam bot semua tutup mulut dan hidung , malulah kita.

“Tapi nak buat macam mana air ini kita tak boleh kawal, kalau nak ke sky mirror sana okay sahaja, tiada masalah lah, cuma air di kawasan ini sahaja,” katanya.

Sementara itu dakwa nelayan, pencemaran dikatakan berpunca daripada kilang perindustrian di Ijok yang bertindak melepaskan sisa buangan ke sungai berkenaan.

Malah, isu kemerosotan hasil kerang di sungai itu pernah kami paparkan dalam aduan rakyat sebelum ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar

Menurut pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor Noraisyah Abu Bakar pembiakan kerang di Sungai Buloh berkurangan sehingga 93 peratus tahun lalu.

“Punca-punca itu (pencemaran), kalau kita ingin lihat dari segi puncanya sebenarnya banyak, kita tidak boleh merujuk kepada satu penunjuk sahaja, kerana di antara penyebabnya, boleh jadi daripada perubahan hidrologi yang boleh memberi kesan kepada spiteful dan juga pemendapan iaitu apabila mendapan-mendapan ini menjadi keras hasil daripada deportasi kulit kerang ini,” tambahnya.

Permasalahan itu kami ajukan kepada Lembaga Urus Air Negeri Selangor (LUAS).

Pada 19 April lalu, LUAS dalam kenyataan tidak menafikan pencemaran didorong pelbagai sektor ekonomi termasuk aktiviti industri, komersil, perumahan, penternakan dan akuakultur yang menyumbang kepada peningkatan efluen ke dalam sungai menjadi penyumbang pencemaran berkenaan.

Dalam maklum balas terbarunya, 11 September lalu, penilaian kaedah rawatan air terkini yang bersesuaian merawat mendapan kekotoran di kawasan dasar muara sungai berkenaan, sedang dinilai oleh pihaknya.

Pelaksanaan kajian kebersihan sungai buloh juga dilakukan dengan melaksanakan pensampelan insitu dikawasan ditetapkan, iaitu di aliran hulu, hilir dan pentengahan bagi menilai status kualiti air dan mengawal risiko pencemaran.

Loading...
Terkini