comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ajaran Ayah Pin: Siasat pelbagai sudut sebelum panggil ‘Imam Muda Kulan’

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan (tiga, kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi (kiri) bertemu serta menyantuni isteri kepada Ayah Pin, Jaharah Awang di kediamannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut di Besut hari ini. – FOTO: NSTP

BESUT: Polis akan menyiasat daripada semua sudut sebelum memutuskan tindakan yang perlu diambil susulan dakwaan ada cubaan untuk menghidupkan kembali ajaran sesat Ayah Pin.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata ini termasuk berhubung keputusan untuk memanggil pemilik akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ selaku orang pertama yang mendedahkan berkenaan gerakan untuk menghidupkan kembali ajaran sesat itu.

“Berkenan (pemilik akaun) Imam Muda Kulan’ itu, kita akan tengok kita punya siasatan (dan) kalau perlu, kita akan panggil dia untuk mendapatkan keterangan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau penempatan pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.

Terdahulu, Muhammad Khalil bersama Mazli dan Mohd Husaimi meluangkan masa hampir 30 minit berbual bersama ahli keluarga kepada Ayah Pin termasuk salah seorang isterinya, Jaharah Awang, 64.

Mazli berkata pihaknya akan terus memantau semua ajaran-ajaran sebegini supaya ia tidak menganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam terutama di Terengganu.

“Saya juga meminta semua pihak supaya berhenti menggembar-gemburkan isu ini sebab kita di pihak undang-undang, kita akan membuat pemantauan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, satu hantaran di akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali melalui gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut.

Isteri kepada Ayah Pin atau Ariffin Muhamad, Jaharah Awang semasa ditemui di kediamannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut di Besut hari ini. – FOTO: NSTP

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan.

Pemimpin ajaran sesat, Ariffin Muhamad, 74, atau Ayah Pin meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut pada April 2016 kerana sakit tua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini